Evolusi Gardenia jadi ikutan






Memulakan perniagaan tanpa perlu bersaing dengan sebarang jenama roti bukan sesuatu yang mudah bagi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengukuhkan kedudukan sehingga kini.

Zaman dahulu, mekanisme penjualan roti dengan menggunakan ejen menyebabkan jarang sekali kita dapat membeli produk tersebut di kedai. Faktor tersebut mendorong Gardenia mengambil inisiatif menyediakan rak tatkala mula memasarkan roti keluaran syarikat di kedai seluruh Malaysia supaya ia lebih tersusun.

Evolusi yang dicetuskan Gardenia itu akhirnya menjadi ikutan bagi pengusaha roti lain yang ingin menceburi bidang tersebut dan secara langsung ia menjadi garis panduan mudah.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mula ditubuhkan pada 1986 dan mempunyai premis kecil di Seksyen 15, Shah Alam manakala kilang pertama dibina pada 1991 mampu mengeluarkan 6,000 buku roti sejam. Pada 1969, Horatio Sye Slocumm dari Amerika dihantar International Executive Service Corps (IESE) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan memulakan perniagaan bakeri.

Sebagai tanda penghargaan kepadanya yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Slocumm dan mempunyai 35 tahun pengalaman dalam bidang bakeri, resipi asal masih lagi digunakan sehingga kini.

42,000 buku roti sejam

Pengurus Kanan Pemasarannya, Hazlinah Harun berkata, berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan, sehingga kini Gardenia mempunyai lima kilang di mana empat daripadanya terletak di Shah Alam dan satu di Puchong.

Menurutnya, kapasiti pengeluaran setiap jam adalah menghasilkan 42,000 buku roti. Pembukaan kilang lain mendorong kepada penambahan produk lain setiap masa.

“Sehingga kini, syarikat telah mengeluarkan 38 jenis produk melibatkan pelbagai segmen seperti kek, waffle, roll dan bun. Bagi memastikan produktiviti syarikat tinggi, hanya satu produk dihasilkan bagi setiap line.

“Setiap buku roti yang dihasilkan bertahan selama empat hari termasuk hari penjualan. Bagi mementingkan kualiti produk, Gardenia tidak akan membiarkan roti itu lebih dari dua hari,” katanya kepada Sinar Harian ketka ditemui di Gardenia, Seksyen 23, Shah Alam.

Hazlinah berkata, pengagihan roti dilakukan seawal jam 4 pagi setiap hari. Terdapat dua jenis kenderaan digunakan warga kerja Gardenia bagi tujuan itu. Trak digunakan untuk menghantar stok roti secara pukal ke setiap negeri sebelum ia diagihkan kepada lori kecil bagi tujuan menghantar ke destinasi yang telah dijadualkan syarikat.

“Sehingga kini, Gardenia mempunyai lebih 600 kenderaan dan lebih 2,500 warga kerja di semua bahagian bagi melancarkan perjalanan kerja serta operasi syarikat,” katanya.

Gardenia yang menghasilkan 16 jenis produk roti secara besar-besaran dan ia ditawarkan dengan harga berpatutan kepada pelanggan. Pengguna adalah keutamaan syarikat dan sentiasa menitikberatkan keperluan serta kehendak mereka bagi mengeluarkan atau menaik taraf yang sedia ada.

“Pengguna dan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) saling bergantung dan ia menjadi keutamaan bagi menentukan pengeluaran produk baru.

“Sepanjang 26 tahun menapak di pasaran Malaysia, Gardenia kini mampu memenuhi keperluan pengguna melibatkan pelbagai golongan sasaran tanpa mengira faktor usia dan tahap kesihatan,” katanya.


Pencapaian:

-2010, 2011, 2012: Putra Brand Awards - Gardenia Malaysia (Anugerah Emas), Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (disahkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation)
-Consumers’ survey on the Most Preferred Brand (kategori makanan)
-2011: Malaysia’s Top Ten Brands 2011 - Gardenia Malaysia (tempat ketiga), The Nielson Company
-2009: Malaysia’s Top Ten Brands 2009 - Gardenia Malaysia (tempat ketujuh), The Nielson Company
-2008: Malaysia’s Choice Award 2008, Superbrands Malaysia
-2007: Highly Commended Product Award, Institut Teknologi Makanan Malaysia (MIFT)
-2006, 2007: Low Glycaemic Diabetic-Friendly, Diet-Friendly Seal, Glycemic Research Institute, Washington D.C.
-2006: Superbrands Consumers’ Choice Award, Superbrands Malaysia Institut Penyelidikan Piawaian dalam Islam
-2005: MS 1480:1999 – Keselamatan makanan mengikut Hazard Analysis and Critical Control Point System (HACCP), Sirim QAS International Sdn Bhd

Sumber : Sinar Harian

29 OKTOBER 2012

Comments

Popular posts from this blog

Umpan Roti Gardenia Pilihan Pemancing

Kenali roti Loaf Gardenia anda,

Apakah ' Keunikan' Produk Gardenia